12 pekerja pos Jerman masuk hospital gara-gara terhidu bau durian
Agensi
Jun 23, 2020 18:16 MYT
Jun 23, 2020 18:16 MYT
GARA-GARA buah durian, seramai 12 pekerja pos di Jerman terpaksa menerima rawatan di hospital, manakala puluhan lagi dipindahkan dari sebuah bangunan di bandar Schweinfurt dalam kejadian pada Sabtu.
Menurut kenyataan polis Schweinfurt, pegawai polis, pasukan bomba serta perubatan telah dikejarkan ke pejabat pos berkenaan selepas menerima maklumat berhubung bungkusan yang 'mencurigakan'.
Polis kemudian mengarahkan mereka yang berada di dalam bangunan tersebut keluar termasuk 60 pekerja, sebelum polis dan pegawai bomba memeriksa bungkusan tersebut
Difahamkan, kekecohan tercetus selepas seorang kakitangan pejabat pos itu terhidu bau yang amat asing.
“Oleh kerana kandungan bungkusan tersebut tidak diketahui dan tidak jelas, ia dianggap sebagai barang berisiko tinggi,” kata kenyataan tersebut seperti dilapor portal berita CNN.
Hasil siasatan mendapati bungkusan berkenaan mengandungi empat biji durian dari Thailand yang dihantar oleh seorang penduduk Schweinfurt berusia 50 tahun untuk rakannya di Nuremberg.
“12 pekerja yang mengadu loya telah mendapat rawatan di hospital, manakala enam lagi dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
“Buah tersebut telah dihantar kepada penerimanya,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Kejadian bungkusan berisi durian bukan pertama kali berlaku di Jerman.
Tahun lalu, perpustakaan di Universiti Canberra terpaksa dikosongkan kerana didakwa kebocoran gas dan hasil carian kemudiannya mendapati bahawa bau itu datang dari buah durian.