12 maut dalam runtuhan rumah dua tingkat di India

Isabelle Leong
Oktober 14, 2019 20:09 MYT
Bangunan runtuh adalah biasa di India ketika musim monsun berikutan hujan lebat yang melemahkan struktur bangunan yang tidak dibina dengan baik.
Sekurang-kurangnya 12 orang maut selepas rumah dua tingkat di sebuah kampung di utara India runtuh pada Isnin.
Seramai 13 orang lagi tercedera dalam runtuhan yang berlaku di Walidpur, sebuah kampung di negeri Uttar Pradesh, kata jurucakap kerajaan negeri.
Memetik laporan Associated Press, Ketua Pengarah Polis Uttar Pradesh, O.P. Singh berkata pihak polis tempatan sedang menyiasat sama ada runtuhan tersebut diakibatkan letupan bekas gas di rumah berkenaan.
Singh berkata lima orang daripada satu keluarga terkorban di lokasi manakala tujuh lagi meninggal dunia di hostpital akibat kecederaan yang dialami.
Bangunan runtuh adalah biasa di India ketika musim monsun berikutan hujan lebat yang melemahkan struktur bangunan yang tidak dibina dengan baik.
Uttar Pradesh dan beberapa negeri di India yang lain ditimpa hujan lebat pada bulan lalu.
#cedera #India #Ketua Pengarah Polis Uttar Pradesh #maut #O P Singh #rumah runtuh #Walidpur
;