12 ahli kartel dadah terbesar di Madrid tumpas
Astro Awani
Mac 15, 2021 08:42 MYT
Mac 15, 2021 08:42 MYT
SEBUAH Ferrari merah bernilai 250,000 euro dan pelbagai jenis senjata api termasuk revolver dan pedang Jepun, merupakan antara barangan yang disita, susulan penangkapan 12 ahli kartel dadah terbesar di Madrid, Sepanyol.
Menurut polis pada Ahad, kartel itu dikategorikan sebagai sangat ganas susulan banyaknya senjata yang ditemui semasa serbuan.
Ia termasuk parang dan beberapa senjata automatik, serta kokaina seberat 600 kilogram.
Wang tunai berjumlah 700,000 euro juga disita, bersama 20 kereta mahal, termasuk Ferrari tersebut.
Polis berkata, ahli kartel tersebut menggunakan kod nama bagi merujuk kepada ahli yang lain atau pangsapuri yang digunakan untuk menyimpan kokaina.
Ahli kartel itu tinggal di kediaman mewah namun tidak mempunyai status pekerjaan yang sah.
Menurut polis, kartel itu adalah organisasi pengedaran kokaina terbesar di ibu negara Sepanyol itu.
Ketua kumpulan itu, yang berasal dari Maghribi, didapati berhubung dengan kumpulan dadah di Colombia, Maghribi, Sepanyol dan Eropah Utara.
Polis Sepanyol bekerjasama dengan rakan sejawatnya di Colombia dalam operasi tersebut.
#Ferrari
#kereta
#video
#operasi
#Dadah
#polis
#sepanyol
#Colombia
#Madrid
#kartel
#pedang
#parang
#senjata
#serbuan
#pangsapuri
#kokaina
#Maghribi