114 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal - PBB

Bernama
Oktober 26, 2023 13:44 MYT
Rakyat Palestin bergegas keluar dari rumah mereka selepas serangan udara Israel di kawasan kejiranan di Bandar Gaza, tengah Semenanjung Gaza, Selasa, 17 Okt 2023. -Gambar fail/AP
GENEVA: Jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal akibat peperangan, penganiayaan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia dianggarkan melebihi 114 juta setakat September tahun ini.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pada Rabu, antara faktor utama pemindahan secara paksa itu, termasuk keganasan, kemarau, banjir dan keadaan yang tidak aman.
"Terlalu banyak konflik yang semakin berleluasa dan memuncak di serata dunia yang menyaksikan kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah.
"Kegagalan masyarakat antarabangsa menyelesaikan konflik atau mencegah konflik baharu menyebabkan kesengsaraan dan semakin ramai penduduk terpaksa berpindah.
"Kita mesti bekerjasama untuk menamatkan konflik dan membenarkan pelarian dan mereka yang terpaksa berpindah kembali semula ke tempat asal mereka," kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi.
Negara berpendapatan rendah dan sederhana kini menjadi tuan rumah kepada 75 peratus pelarian dan mereka yang memerlukan perlindungan.
UNHCR berkata terdapat sebanyak 1.6 juta permohonan baharu untuk mendapat suaka dibuat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah terbesar pernah direkodkan.
Menurut agensi itu, Forum Pelarian Global kali kedua akan diadakan di Geneva, Switzerland, dari 13 hingga 15 Dis tahun ini.
-- BERNAMA
#PBB #pelarian #UNHCR
;