113 penumpang pesawat Hercules dipercayai terkorban dalam tragedi di Medan
Bernama
Jun 30, 2015 20:30 MYT
Jun 30, 2015 20:30 MYT
Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) Marshal Agus Supriatna mengesahkan pesawat Hercules milik TNI AU yang terhempas di Medan hari ini membawa 113 penumpang dan kesemua mereka dipercayai terkorban dalam tragedi itu.
Katanya, daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah anggota tentera iaitu empat pegawai termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang manakala lapan lagi adalah juruteknik tentera.
Pesawat itu juga membawa penumpang awam dan kebanyakan mereka dipercayai keluarga anggota tentera namun status mereka masih dalam siasatan.
"Jumlah semuanya 113 penumpang. Kalau yang selamat tak ada. Jenazah baru ditemukan 49 orang. Ini saya mau mengecek (periksa) ke Rumah Sakit Adam Malik," katanya seperti yang dipetik oleh siaran televisyen berita Metro TV.
Agus juga berkata, setakat ini terdapat laporan 23 jenazah telah dikenal pasti namun nama mereka belum dapat diumumkan lagi.
Pihak berkuasa juga mengesahkan antara mayat yang ditemui termasuklah kanak-kanak yang dipercayai berumur bawah lima tahun.
Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI AU terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.
Menurut saksi, pesawat itu meletup sebelum terhempas dan sebahagian badan pesawat menimpa beberapa buah bangunan rumah kedai termasuk bangunan bernama BS Okup iaitu sebuah pusat perubatan tradisional.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan dipercayai masih ramai mangsa orang awam yang terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan atau badan pesawat itu.