11 pendaki Gunung Marapi, Indonesia maut
Astro Awani
Disember 4, 2023 11:50 MYT
Disember 4, 2023 11:50 MYT
JAKARTA: Sejumlah 11 pendaki disahkan maut oleh anggota penyelamat Indonesia berikutan letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat petang semalam.
Menurut Jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Tempatan, Jodi Haryawan, tiga lagi mangsa yang terselamat ditemui pada Isnin bersama dengan mayat 11 pendaki, antara 75 pendaki yang berada di kawasan itu semasa letusan.
Kini pencarian untuk mencari 12 lagi hilang telah dihentikan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.
Gunung Marapi terletak di wilayah Sumatera Barat, Indonesia meletus pada jam 2.54 petang waktu tempatan, memuntahkan abu gunung berapi setinggi hampir 3,000 meter ke udara.
Pusat Vulkanologi Dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan, letusan mengakibatkan hujan abu melitupi daerah Agam di Sumatera Barat dan pihak berkuasa menasihati orang ramai memakai pelitup muka.
Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi 2,891 meter itu telah berterusan sejak awal tahun ini dengan status amaran ditetapkan pada tahap dua.
Gunung Marapi direkodkan meletus pada 8 September 1830 dan sekali lagi pada 30 April 1979 yang menyebabkan sekurang-kurang 60 kematian.
Ia turut menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 sebelum meletus pada 26 Februari 2014.