11 pekerja terbunuh dalam kebakaran gudang
Bernama
Mac 23, 2022 18:30 MYT
Mac 23, 2022 18:30 MYT
NEW DELHI: Kebakaran gudang di selatan India pada Rabu mengorbankan 11 pekerja.
Kejadian di bandar Secunderabad negeri Telangana itu menyaksikan risiko keselamatan yang dihadapi pekerja migran miskin yang tinggal di bandar-bandar yang padat.
Mangsa yang maut berusia antara 23 hingga 30 tahun dan berasal dari daerah Chapra di negeri Bihar, menurut laporan di laman sesawang akhbar Deccan Chronicle.
Seramai 12 pekerja terperangkap dalam kebakaran gudang sekerap dan seorang menyelamatkan diri dengan terjun dari aras satu bangunan dua tingkat itu.
"Tingkat bawah menyimpan bahan sekerap, botol, surat khabar dan lain-lain. Ia kelihatan seperti pelanggaran norma keselamatan dengan semua mangsa lelaki berada dalam satu bilik. Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas," menurut seorang pegawai.
Ketua Menteri Telangana K. Chandrashekar Rao dalam catatan media sosial terkejut dengan kejadian itu dan mengumumkan bayaran pampasan sebanyak 500,000 rupee (kira-kira RM27,700) untuk waris mangsa.
#kebakaran gudang di Selatan India
#Bandar Secunderabad
#Ketua Menteri Telangana K Chandrasekhar Rao
#Bihar