11 migran maut, bot karam di perairan Libya

Astro Awani
April 26, 2023 08:00 MYT
Kumpulang migran yang berjaya diselamatkan di kawasan perairan Libya. - Foto AP
GARABULLI: Sejumlah 11 mayat, termasuk seorang kanak-kanak, ditemui pengawal pantai Libya selepas bot dinaiki mereka terbalik di luar pantai Garabulli berhampiran ibu negara Tripoli, pada Selasa pagi.
Menurut pengawal pantai, mereka merupakan migran yang berasal dari Pakistan, Syria, Tunisia dan Mesir.
Salah seorang warga Mesir yang terselamat berkata, bot itu terlebih muatan.
Katanya, pemandu bot tersebut enggan mengurangkan jumlah muatan walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikian.
"Kami bertolak pada jam 1 pagi. Bot itu terlebih muatan. Terdapat seorang warga Tunisia dan seorang warga Libya yang memandu bot tersebut.
"Apabila saya memberitahu mereka untuk meringankan sedikit beban, dia menjerit kepada saya sebagai bantahan dan orang ramai menyuruhnya berhenti," katanya.
Jelasnya bot berkenaan karam ketika pemandu bot memutuskan untuk berpatah balik dan pada masa yang sama meningkatkan kelajuan bot.
Bot itu yang menuju ke arah pantai Itali, membawa 78 orang termasuk kanak-kanak.
Pengawal pantai berjaya menyelamatkan 67 orang, termasuk seorang kanak-kanak, yang dilaporkan dalam keadaan sihat.
#migran #bot karam #pelarian #pengawal pantai
;