11 maut, ratu cantik terselamat dalam kebakaran hotel mewah

Astro Awani
November 25, 2017 19:33 MYT
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, mangsa maut merupakan seorang warga Iran dan 10 warga Georgia. - REUTERS
SERAMAI 11 maut dalam kebakaran di sebuah hotel di kawasan perangingan Laut Hitam Georgia yang dijadualkan menganjur pertandingan Ratu Cantik Georgia 2017 pada Ahad.
21 lain dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.
Kesemua mangsa dilaporkan maut akibat terhidu asap di Hotel Leogrand setinggi 22 tingkat itu.
Menurut Menteri Kesihatan Zaal Mikeladze, punca kebakaran belum dapat dipastikan lagi.
Lebih 100 orang dikeluarkan dari hotel mewah tersebut oleh pasukan perkhidmatan kecemasan.
Identiti mangsa masih sedang dikenal pasti namun menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, mangsa maut merupakan seorang warga Iran dan 10 warga Georgia.
Tambahnya kesemua mangsa cedera dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pegawai pertandingan tersebut memaklumkan tiada peserta cedera dalam insiden tersebut. Kesemua 20 peserta dilaporkan menginap di hotel itu.
Menurut agensi berita Rusia TASS, kejadian berlaku ketika peserta Ratu Cantik itu sedang menjamu selera.
Mereka berjaya menyelamatkan diri menggunakan laluan kecemasan.
Susulan kejadian Perdana Menteri Georgi Kvirikashvili terus menuju ke Batumi dalam penerbangan pulang ke Tblisi selepas menghadiri sidang Kesatuan Eropah.
Beliau kemudian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji akan menyiasat punca kejadian dalam satu entri yang dimuat naik di Facebook rasminya.
#Georgia #Hotel Leogrand #kebakaran #Laut Hitam #Ratu Cantik Georgia 2017
;