11 maut ditembak di kem tentera Rusia

Astro Awani
Oktober 15, 2022 07:00 MYT
Penyerang berkenaan berasal dari Tajikistan dan melakukan serangan ke atas pelatih tentera itu selepas satu pertengkaran berlaku mengenai agama. - Gambar hiasan
SEKURANG-kurangnya 11 maut dalam kejadian tembakan di pusat latihan tentera Rusia pada Sabtu.
Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, 15 lagi cedera dalam insiden itu yang berlaku di wilayah Belgorod, yang terletak di sempadan Ukraine.
Katanya, dua lelaki yang melakukan serangan itu telah ditembak mati.
Kesemua mangsa sedang berlatih di pusat berkenaan selepas memasuki tentera secara sukarela untuk menyertai perang.
"Kejadian berlaku ketika sesi latihan penggunaan senjata api.
"Dua lelaki ini telah melepaskan tembakan ke atas kumpulan yang menyertai pasukan tentera secara sukarela," katanya.
Menurut salah seorang penasihat kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Oleksiy Arestovych dalam temu bual yang disiarkan dalam laman YouTube, penyerang berkenaan berasal dari Tajikistan dan melakukan serangan ke atas pelatih tentera itu selepas satu pertengkaran berlaku mengenai agama.
Insiden berkenaan berlaku seminggu selepas satu letupan memusnahkan sebuah jambatan di Crimea, wilayah yang diambil balik oleh Rusia dari Ukraine pada 2014.
#ditembak #sukarela #Rusia #pusat latihan tentera
;