11 dikhuatiri terbunuh dalam kejadian terhempas pertunjukan udara Britain
Astro Awani
Ogos 23, 2015 01:31 MYT
Ogos 23, 2015 01:31 MYT
Seramai 11 orang dikhuatiri terbunuh selepas sebuah pesawat tentera vintaj yang mengambil bahagian dalam pertunjukan udara, terhempas di pantai selatan England, lapor agensi berita AFP.
Menurut polis, dalam kejadian pada Ahad itu, tujuh maut dan 15 cedera dalam nahas selepas jet penyerang jenis Hawker Hunter itu, gagal dikawal dan terhempas ke jalan raya yang sibuk, berhampiran dengan pertunjukan udara Shoreham di Brighton.
Juruterbang tersebut, yang bekerja untuk British Airways, berada di hospital dalam keadaan kritikal.
Dalam sidang akhbar, timbalan ketua polis Sussex, Steve Barry menyifatkan insiden tersebut sebagai "satu insiden trauma yang besar".
"Kita telah mengenal pasti 11 mangsa yang kita anggap kemungkinan besar telah maut dalam tragedi tersebut," katanya.
Beliau turut berkata kemungkinan besar angka kematian akan meningkat.
Antara yang terbunuh semasa pesawat menghempas kereta-kereta tersebut termasuk dua pemain bola sepak amatur yang dalam perjalanan ke perlawanan.
Sebuah kenderaan Daimler lama juga terlibat dalam nahas tersebut semasa dalam perjalanan untuk mengambil pengantin perempuan pada hari perkahwinannya itu.