103 warga asing ditahan di Bali disyaki salah guna permit izin tinggal

Bernama
Jun 27, 2024 05:15 MYT
Semua warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen Indonesia di pulau percutian Bali akan menjalani pemeriksaan lanjut di Pusat Tahanan Imigresen Bali. - Foto Imigresen Indonesia
JAKARTA: Pihak berkuasa imigresen Indonesia telah menahan 103 warga asing yang disyaki menyalahgunakan permit izin tinggal dan terlibat dalam jenayah siber semasa operasi penguatkuasaan di pulau percutian Bali, kata ketua pengarah Imigresen, Silmy Karim.
Operasi oleh Direktorat Pengawasan dan Penguatkuasaan Imigresen itu membawa kepada penahanan individu, termasuk 14 warga Taiwan, dengan identiti yang lain masih belum disahkan.
"Operasi pengawasan sedemikian adalah rutin di seluruh negara dan penting dalam memerangi jenayah yang dilakukan oleh warga asing, selaras dengan usaha membanteras judi dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pengarah Pengawasan dan Penguatkuasaan, Safar Muhammad Godam, menjelaskan bahawa operasi itu bermula pada 10 pagi waktu tempatan Rabu menyasarkan sebuah vila di mukim Marga, daerah Tabanan.
Menjelang 5 petang waktu tempatan, pihak berkuasa telah menahan 103 individu terdiri daripada 12 wanita dan 91 lelaki, yang disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan menyalahgunakan permit imigresen.
"Kami sedang menyiasat mereka untuk kemungkinan kaitan dengan jenayah siber berikutan penemuan banyak komputer dan telefon bimbit di lokasi," kata Safar.
Semua warga asing yang ditahan bersama bukti yang dirampas akan menjalani pemeriksaan lanjut di Pusat Tahanan Imigresen Bali.
-- BERNAMA
#warga asing #Bali #salah guna permit izin tinggal #Imigresen Indonesia
;