103 pesawat tentera China dikesan berhampiran Taiwan, tertinggi pernah direkod
Bernama
September 18, 2023 17:00 MYT
September 18, 2023 17:00 MYT
MOSCOW: Angkatan bersenjata Taiwan mengesan 103 pesawat China dan sembilan kapal berhampiran pulau itu dalam tempoh 24 jam lalu, yang menunjukkan rekod baharu sejak kebelakangan ini, lapor Sputnik, memetik Kementerian Pertahanan Taiwan pada Isnin.
"103 pesawat PLA dan 9 kapal PLAN dikesan di sekitar Taiwan pada 6 pagi (UTC+8) hari ini (22:00 pada Ahad). Angkatan Bersenjata R.O.C. (Taiwan) telah memantau keadaan dan mengerahkan pesawat CAP, kapal Tentera Laut, dan sistem peluru berpandu darat untuk bertindak balas terhadap aktiviti ini," tulis kementerian pertahanan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Dalam kenyataan berasingan di laman webnya, kementerian itu menyatakan bahawa aktiviti ketenteraan itu mencatatkan rekod tertinggi sejak kebelakangan ini dan mewakili "cabaran serius terhadap keselamatan di Selat Taiwan dan rantau tersebut."
Kenyataan yang disiarkan di platform X juga menyatakan bahawa aktiviti ketenteraan berterusan tentera China "boleh dengan mudah menyebabkan peningkatan ketegangan, serta kemerosotan keselamatan serantau."
"Kami menggesa Beijing untuk bertanggungjawab dan segera menghentikan tindakan merosakkan unilateral itu," tambah Kementerian Pertahanan Taiwan.
Taiwan telah diperintah secara bebas dari tanah besar China sejak 1949. Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya, manakala Taiwan mengekalkan pendirian ia adalah entiti autonomi, tetapi tidak mengisytiharkan kemerdekaan.
Beijing menentang sebarang hubungan asing rasmi dengan Taipei dan menganggap kedaulatan China ke atas pulau itu sebagai tidak boleh dipertikaikan.
Peningkatan ketegangan terbaharu di sekitar Taiwan berlaku pada April selepas Presiden Taiwan Tsai Ing-wen bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat AS Kevin McCarthy di Amerika Syarikat.
Beijing bertindak balas dengan melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran selama tiga hari berhampiran pulau itu sebagai amaran kepada pihak yang memihak kepada kemerdekaan Taiwan dan kuasa asing.
--BERNAMA-SPUTNIK