103 maut, 100 lain terselamat kejadian bot karam

Bernama
Jun 14, 2023 11:10 MYT
Sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh manakala kira-kira 100 yang lain diselamatkan selepas sebuah bot karam pada Isnin di negeri Kwara, Abuja di Nigeria. - Foto agensi
ABUJA: Sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh manakala kira-kira 100 yang lain diselamatkan selepas sebuah bot karam pada Isnin di negeri Kwara, Abuja di Nigeria.
Kemalangan pada Isnin pagi itu berlaku di sungai di kawasan kerajaan tempatan Patigi di negeri itu, kata jurucakap polis Kwara, Ajayi Okasanmi.
Okasanmi berkata beberapa lagi mangsa masih hilang dan operasi menyelamat masih diteruskan.
"Saya boleh mengesahkan bahawa lebih 200 orang terlibat dalam kejadian menyedihkan itu. Kami akan terus bekerjasama dengan penyelamat dan agensi kerajaan lain untuk menyelamatkan mangsa yang masih ada dan mengeluarkan mangsa yang terkorban," kata pegawai polis itu.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, Gabenor Kwara Abdulrahman Abdulrazaq berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan.
Nahas bot di negara Afrika Barat itu sering dilaporkan berlaku disebabkan oleh muatan berlebihan, cuaca buruk dan cara pengendalian yang tidak sempurna.
-- BERNAMA
#bot karam #SAR #majlis perkahwinan #muatan berlebihan
;