100 penyelamat cari pesawat Aviastar yang putus hubungan

Agensi
Oktober 3, 2015 11:45 MYT
Kali akhir hubungan dengan pesawat dibuat adalah pada 2.36 petang ketika juruterbang melaporkan pesawat sudah sampai ke altitud 4,000 kaki. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Indonesia telah mengerahkan sekurang-kurangnya 100 anggota pasukan penyelamat bagi mencari pesawat Aviastar Twin Otter DHC-6, yang terputus hubungan dengan menara kawalan udara selepas berlepas dari Selatan Sulawesi.
Sepuluh penumpang dan anak kapal berada dalam pesawat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilik Aviastar Sugeng Triyono memberitahu isyarat telefon bimbit milik juruterbang pesawat itu telah dikenal pasti kedudukannya iaitu di pergunungan Setelah Palopo di daerah Luku.
Menurutnya, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) akan dikerahkan ke lokasi berkenaan.
Badan SAR Nasional (Basarnas) telah segera mengerahkan petugasnya ke Sulawesi Selatan, selain anggota polis tempatan dan Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD).
Ketua Basarnas Henry Bambang Sulistyo berkata agensinya sahaja sudah menggerakkan sekurang-kurangnya 100 petugas, yang telahpun meninggalkan Makassar pada Jumaat malam ke koordinat pencarian.
Para pegawai pada Jumaat bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan mengenai pesawat yang terhempas daripada penduduk tempatan di kawasan yang dinyatakan.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan J.A. Barata memberitahu bahawa pesawat itu berlepas dari bandar Masamba di daerah Luwu Utara pada 2.25 petang waktu tempatan pada Jumaat dan dijadualkan tiba di Makassar pad 3.39 petang.
Menurut Barata, juruterbang sepatutnya menghubungi menara kawalan udara sejurus ia sampai ke altitud penerbangan dan sekali lagi perlu berbuat demikian untuk mendapat kelulusan seterusnya ketika mendekati destinasi.
Kali akhir hubungan dengan pesawat dibuat adalah pada 2.36 petang ketika juruterbang melaporkan pesawat sudah sampai ke altitud 4,000 kaki.
#Aviastar #Makassar #pesawat #putus hubungan #Selatan Sulawesi #Twin Otter DHC-6
;