10 serangan AS sasar kawasan di Yaman

Agensi
Mac 19, 2025 13:40 MYT
AS mengeluarkan satu video operasi berterusan terhadap kumpulan pemberontak Houthi menunjukkan jet pejuang berlepas dari kapal pengangkut. - Foto Reuters
SANAA: Sekurang-kurangnya 10 serangan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan kawasan di Yaman, termasuk ibu kota Sanaa pada awal pagi Rabu.
Dalam pada itu, AS mengeluarkan satu video operasi berterusan terhadap kumpulan pemberontak Houthi pada Selasa menunjukkan jet pejuang berlepas dari kapal pengangkut pesawat dan peluru berpandu dilancarkan ke udara.
Serangan AS terhadap Houthi dilancarkan pada Sabtu lalu dan merupakan operasi ketenteraan AS terbesar di Asia Barat sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memegang jawatan pada Januari.
Sebagai balasan, Houthi pada Isnin melancarkan dua serangan menyasarkan kapal pengangkut pesawat milik AS dalam tempoh 24 jam, sekali gus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Trump.
Kumpulan disokong Iran itu menyasarkan USS Harry Truman dan beberapa kapal perang pengiringnya di Laut Merah.
Jurucakap Houthi menerusi kenyataan di aplikasi Telegram mengesahkan operasi itu adalah tindak balas terhadap pencerobohan berterusan yang dilakukan AS terhadap Yaman.
#Donald Trump #Iran #serangan balas #Yaman #Houthi
;