10 rakyat Palestin terkorban dalam operasi serbuan Israel
Astro Awani
Januari 26, 2023 07:40 MYT
Januari 26, 2023 07:40 MYT
TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin maut selepas tentera rejim Israel mengadakan serbuan di Tebing Barat.
Ia merupakan hari berdarah buat warga Palestin di Tebing Barat ketika serbuan diadakan di kem pelarian yang sesak di bandar utara Jenin.
Keganasan Israel menyaksikan tembakan dilepaskan di jalan raya dengan insiden bakar membakar turut dilakukan.
Israel mendakwa, serbuan itu dibuat sebagai operasi untuk menangkap kumpulan pejuang yang sebelum itu melepaskan tembakan terdapat mereka.
Sembilan menjadi korban termasuk seorang wanita selain turut mencederakan 20 orang yang lain.
Seorang lagi rakyat Palestin kemudiannya ditembak oleh tentera Israel di al-Ram.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ini merupakan angka korban tertinggi pernah dicatatkan dalam satu operasi di Tebing Barat.
Keganasan itu mendorong pihak berkuasa Palestin mengumumkan untuk memutuskan penyelarasan keselamatan dengan Israel dan langkah itu dikritik Amerika Syarikat (AS), sekutu rapat Israel.