10 parti melepasi kelayakan dalam pilihan raya umum legislatif Indonesia
Munirah A Sani, Fuad Misbah
Mei 10, 2014 16:54 MYT
Mei 10, 2014 16:54 MYT
Keputusan pemilihan umum legislatif Indonesia yang diumumkan lewat Jumaat dianggap tidak mengejutkan ekoran penjumlahan anggaran awal hampir sama dengan apa yang diumumkan.
Rata-rata warga Indonesia nyata tidak mempunyai sebarang bantahan atau rasa kurang senang dengan keputusan terbabit.
Mereka yang ditemui seperti sepakat kerana amat menginginkan perubahan tampuk pimpinan yang bebas daripada korupsi atau rasuah serta mengkehendaki seorang pemimpin yang tidak mementingkan parti.
Sebaliknya, rakyat mahukan seorang pejuang nasib rakyat keseluruhan.
Komisi Pemilihan Umum, KPU, lewat malam Jumaat telah mengumumkan keputusan rasmi Pemilihan Umum Legislatif Indonesia 2014 yang menyaksikan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, PDI-P, mengungguli pemilihan tersebut.
PDI-P yang diketuai Megawati Soekarnoputri mendapat 18.95 peratus undian, diikuti Parti Golongan Karya dengan 14.75 peratus undian.
Parti Gerakan Indonesia Raya, GERINDRA mencatat keputusan ketiga tertinggi dengan 11.81 peratus.
Parti pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono iaitu Parti Demokrat masih berada di kalangan empat terbesar walaupun mengalami pengurangan dari segi catatan undian dengan 10.19 peratus.