10 orang terbunuh dalam serangan udara Israel malam tadi
Agensi
Oktober 19, 2023 06:30 MYT
Oktober 19, 2023 06:30 MYT
GAZA: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang mengenai sebuah bangunan kediaman di pusat Semenanjung Gaza pada Khamis malam, kata pegawai kesihatan di Hospital Al-Aqsa Martyrs.
Serangan udara di Deir al-Balah turut menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang cedera, kata pegawai kesihatan tersebut.
Menurut pegawai berkenaan, kanak-kanak merupakan antara mangsa yang terbunuh dan cedera dalam serangan itu.
Bangunan yang menjadi sasaran adalah bangunan kediaman tiga tingkat, kata pegawai kesihatan dan beberapa saksi.
Agensi berita antarabangsa CNN memperoleh rakaman video daripada seorang wartawan tempatan yang berada di dalam hospital selepas serangan tersebut.
Rakaman itu menunjukkan suasana huru-hara ketika petugas-petugas kesihatan bergegas untuk merawat orang yang terluka yang dibawa masuk, termasuk kanak-kanak dan wanita.
CNN telah mencuba menghubungi pejabat media Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk mendapatkan komen mengenai serangan itu.
IDF telah melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai pembalasan terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
IDF memberitahu CNN minggu lalu, jumlah orang yang terbunuh dalam serangan Hamas sekarang diketahui melebihi 1,400 orang.
Sementara serangan udara secara meluas oleh IDF di seluruh Semenanjung Gaza pula telah membunuh sekurang-kurangnya 3,478 orang, kata Kementerian Kesihatan di Gaza.