10 maut ditikam dalam serangan rambang di Kanada, dua suspek diburu
Astro Awani
September 4, 2022 07:45 MYT
September 4, 2022 07:45 MYT
OTTAWA: Sepuluh orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera akibat ditikam dalam kejadian di dua komuniti terpencil di Kanada pada Ahad.
Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore polis kini memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.
"Kami telah mengesan 10 individu yang meninggal dunia di 13 lokasi dalam komuniti James Smith Cree Nation dan Weldon, Saskatchewan.
"Beberapa mangsa cedera, 15 daripadanya ketika ini telah dihantar ke beberapa hospital," katanya.
"Kami sedang giat memburu kedua-dua suspek... dan menyiasat lokasi kejadian," kata Blackmore pada sidang akhbar, Ahad.
Amaran orang berbahaya yang menamakan suspek Damien Sanderson dan Myles Sanderson telah dikeluarkan pagi Ahad di Saskatchewan, lapor AFP.
Blackmore berkata polis menerima panggilan pada jam 5.40 pagi waktu tempatan mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung insiden itu.
Pihak berkuasa percaya "sesetengah mangsa menjadi sasaran suspek manakala yang lain diserang secara rawak."