10 maut, 7 hilang dalam kebakaran feri di Filipina
Bernama
Mac 30, 2023 12:02 MYT
Mac 30, 2023 12:02 MYT
MANILA: Sekurang-kurangnya 10 penumpang maut apabila feri yang membawa lebih 200 orang terbakar di selatan Filipina lewat malam Rabu, kata seorang pegawai tempatan pada Khamis.
Memetik laporan awal, Nixon Alonzo, ketua pejabat pencegahan dan pengurusan bencana wilayah Basilan, memberitahu radio tempatan bahawa tujuh penumpang yang terjun ke laut masih hilang.
Sekurang-kurangnya 195 penumpang dan 35 anak kapal berjaya diselamatkan, lapor Xinhua.
Beliau berkata anggota penyelamat menemui empat mayat di atas feri manakala enam lagi dibawa ke pantai.
"Penumpang maut akibat lemas selepas terjun ke dalam air. Ada yang melecur," kata Alonzo.
Alonzo berkata, feri itu M/V Lady Mary Joy itu menuju ke Bandar Zamboanga dari Jolo apabila ia terbakar di perairan Pulau Baluk-Baluk di bandar Hadji Muhammad wilayah Basilan pada pukul 10 malam waktu tempatan pada Rabu.
Pengawal Pantai Filipina yang mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya mengerahkan anggota dan kapalnya membantu operasi mencari dan menyelamat, namun tidak memberi maklumat lanjut mengenai mangsa.
-- BERNAMA