10 maut, 44 cedera dalam nahas bas selepas pemandu tertidur

Astro Awani
Julai 26, 2021 09:17 MYT
Lalu lintas terpaksa diberhentikan selama beberapa jam untuk melakukan proses menyelamatkan mangsa. - Foto Ivica Galovic/PIXSELL via REUTERS
SLAVONSKI BROD: Sekurang-kurangnya 10 maut manakala 44 lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah bas di sebuah lebuh raya di bandar Slavonskibrod, Croatia.
Menurut pihak berkuasa, pemandu bas berkenaan terlelap seketika sekaligus mengakibatkan nahas pada awal pagi Ahad itu.
Pemandu bas berkenaan ditahan selepas mengaku tertidur ketika memandu.
Semasa kejadian, bas yang membawa 67 penumpang itu dalam perjalanan dari Jerman ke ibu kota Kosovo, Pristina yang terletak di selatan Serbia.
Lalu lintas terpaksa diberhentikan selama beberapa jam untuk melakukan proses menyelamatkan mangsa.
Lapan daripada 44 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital berdekatan.
Presiden Kosovo, Vjosa Osmani mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dalam catatan terbaharu di akaun Facebook miliknya serta mengisytiharkan hari Isnin sebagai hari berkabung nasional bagi memperingati mangsa.
"Kami bersimpati dengan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas ini," katanya.
Sumber Facebook VjosaOsmaniMP
#Nahas #bas #maut #cedera #hari berkabung #pemandu #tertidur
;