10 maut, 30 hilang dalam insiden tanah runtuh di Nepal
Astro Awani
Julai 10, 2020 07:30 MYT
Julai 10, 2020 07:30 MYT
Seramai 10 penduduk maut manakala 30 lagi hilang dalam insiden tanah runtuh akibat hujan lebat di Nepal.
Menurut pihak berkuasa, tujuh individu yang meninggal dunia adalah mangsa di tiga kawasan berbeza di sekitar bandar peranginan Pokhara.
Pokhara, 200 kilometer dari barat ibu kota Kathmandu terkenal di kalangan pelancong.
Ia juga jadi pangkalan bagi para pendaki yang menuju ke laluan gunung.
Di utara Pokhara, tanah runtuh melanda dua kampung di daerah Myagdi dan merosakkan 37 buah rumah.
Jurucakap kerajaan Nepal, Mahesh Subedi berkata setakat ini tiga mayat telah ditemukan tetapi 30 lagi masih hilang.
Jalan raya juga tersekat disebabkan tanah runtuh.
Ini menjadikan usaha menyelamat sukar, ditambah dengan cuaca buruk.