AS$10 bilion diperlukan untuk pulihkan sistem kesihatan Gaza - WHO
Agensi
Januari 17, 2025 10:10 MYT
Januari 17, 2025 10:10 MYT
GENEVA: Sekurang-kurangnya AS$10 bilion diperlukan untuk memulihkan sistem kesihatan Gaza yang musnah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, menurut penilaian awal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.
"Keperluannya sangat besar," kata wakil agensi kesihatan PBB di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn, kepada pemberita.
Dengan gencatan senjata yang hampir tercapai, para aktivis kemanusiaan menyeru peningkatan besar-besaran bantuan kemanusiaan ke Gaza yang musnah akibat perang, sambil berusaha menilai keperluan mendesak yang semakin membesar.
Peeperkorn menyebut anggaran awal kos pemulihan sektor kesihatan sahaja ialah "lebih AS$3 bilion untuk 1.5 tahun pertama dan meningkat kepada AS$10 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun."
"Di Gaza, kemusnahan terlalu besar. Saya tidak pernah menyaksikan keadaan seperti ini sepanjang hidup saya," tambahnya.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pula berkata: "kurang daripada separuh hospital di Gaza kini berfungsi."
Beliau menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada Rabu sebagai "berita terbaik."
Namun, beliau turut menzahirkan keprihatinan kerana ia telah terlambat untuk mereka yang telah kehilangan nyawa dalam konflik itu.
"Kami menyambut baik berita ini dengan kelegaan, tetapi juga dengan kesedihan kerana ia datang terlalu lewat untuk mereka yang terkorban," katanya.
Tedros juga memberi amaran terdapat kemungkinan perjanjian itu belum disahkan sepenuhnya.
Walaupun pihak perantara mengatakan perjanjian akan dikuatkuasakan pada Ahad, beliau mendesak agar ia dilaksanakan segera.
"Jika kedua-dua pihak komited untuk gencatan senjata, ia harus bermula segera," katanya.
"Perdamaian adalah ubat terbaik. Maka, biarkan proses penyembuhan bermula, bukan sahaja untuk Gaza, tetapi juga untuk Israel. Ini adalah kepentingan semua pihak."
Peeperkorn berkata, WHO bersedia untuk "segera memperluas sokongan" di wilayah itu.
"Apa yang kritikal adalah menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang ketara untuk menghantar bantuan di seluruh Gaza," katanya.
"Kami memerlukan akses yang pantas, tanpa halangan dan selamat untuk mempercepatkan aliran bantuan ke Gaza." - Agensi