10 berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Farhana Joni
September 3, 2020 23:14 MYT
September 3, 2020 23:14 MYT
ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 3 September 2020.
Pelakon Amerika Syarikat (AS) dan bekas ahli gusti Dwayne “The Rock” Johnson berkata, beliau dan keluarganya yang disahkan positif COVID-19 kini sudah pulih, lapor agensi berita Sputnik.
Kerajaan Jepun mungkin menawarkan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua penduduk dalam usaha mengurangkan kadar kematian dan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital, memetik sumber pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Presiden Joko Widodo berkata Indonesia merancang untuk mengeluarkan vaksinnya sendiri menjelang pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Syarikat tempatan ditugaskan untuk membangunkan vaksin COVID-19 secara usaha sama dan setakat ini perkembangannya sudah mencapai tahap 30 hingga 40 peratus, kata Widodo pada mesyuarat kabinet, Selasa.
Kajian terbaharu mengesahkan beberapa jenis steroid meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit COVID-19 yang parah, sekali gus menjadikannya ubat paling murah untuk rawatan itu.
Analisis dan ujian klinikal yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diterbitkan pada Rabu oleh Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.
Thailand melaporkan jangkitan tempatan pertama COVID-19 selepas 100 hari setelah seorang banduan diuji positif di sebuah penjara di Bangkok.
Menurut pegawai kesihatan awam, lelaki berusia 37 tahun itu diuji positif semalam semasa melakukan ujian rutin. Dia dibawa ke hospital di Bangkok untuk rawatan.
Singapura melaporkan 48 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu sebanyak 56,908.
"Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti, seorang merupakan penduduk tetap Singapura manakala seorang lagi pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan, di sini.
Lapan terbunuh manakala 14 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di Cuernavaca, bandar percutian hujung minggu yang popular Mexico City, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai tempatan pada Rabu.
Taufan Maysak mula membadai selatan Jepun membawa bersama hujan lebat pada Rabu.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan, taufan menyebabkan angin kencang berkelajuan 162 kilometer sejam dan hujan lebat.
Sebahagian besar bandar raya Yangon ditutup pada Rabu susulan peningkatan jangkitan kes COVID-19.
Pihak berkuasa Myanmar mengenakan perintah berkurung di tujuh perbandaran dan mendirikan pusat pemeriksaan di sekatan jalan raya bagi menghalang kemasukan.
Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, kes positif keseluruhan meningkat kepada 184,268, manakala jumlah kematian keseluruhan kini 7,750 orang.
#antarabangsa
#COVID-19
#Indonesia
#Jepun
#Joko Widodo
#kulit hitam
#Mexico
#perintah berkurung
#Singapura
#Streroid
#taufan
#Thailand
#The Rock
#vaksin
#WHO
#Yangon