10 askar Israel terbunuh, Netanyahu mahu serangan diteruskan
Astro Awani
Disember 14, 2023 08:00 MYT
Disember 14, 2023 08:00 MYT
TEL AVIV: Israel melaporkan 10 tentera, termasuk dua pegawai tertingginya terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam mesej kepada tentera di Gaza memberitahu bahawa serangan akan diteruskan sehingga kemenangan dicapai.
Angka korban pada Rabu adalah yang terburuk sejak 15 tentera Israel terbunuh pada 31 Oktober lalu.
Israel umum kekalahan tempurnya yang paling teruk dalam masa lebih sebulan pada Rabu dalam perangnya menentang Hamas.
Rejim itu turut berdepan pengasingan diplomatik yang semakin tinggi apabila kematian orang awam meningkat dan bencana kemanusiaan semakin teruk.
Sebelum ini Israel meraih simpati global apabila melancarkan kempen untuk memusnahkan Hamas.
Ini susulan serangan Hamas di sempadan pada 7 Oktober membunuh 1,200 warga Israel dan menahan 240 tebusan.
Tetapi sejak itu, Israel telah mengepung kawasan di gaza dan memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada Rabu sekurang-kurangnya 18,608 orang terbunuh dan 50,594 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Sementara itu ribuan lagi dikhuatiri hilang dalam runtuhan.