10 anggota militan serpihan Taliban Pakistan terbunuh dalam pertempuran - Polis

Agensi
April 8, 2017 20:55 MYT
Pertempuran itu berlaku beberapa hari selepas insiden serangan bunuh diri yang didakwa dilakukan oleh Taliban Pakistan terhadap pasukan tentera. -REUTERS/Mohsin Raza
Polis Pakistan pada Sabtu berkata, 10 anggota militan kumpulan Jamaat-ur-Ahrar, iaitu serpihan Taliban Pakistan, maut dalam pertempuran bersenjata di Lahore.
Antara yang maut termasuk suspek utama serangan bom pada Februari lalu yang mengakibatkan 13 orang terkorban.
Pertempuran itu berlaku beberapa hari selepas insiden serangan bunuh diri yang didakwa dilakukan oleh Taliban Pakistan terhadap pasukan tentera, yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh manakala 18 lagi cedera di Lahore.
Berpuluh-puluh orang telah terbunuh sejak awal tahun ini dalam satu siri serangan yang telah memutuskan harapan untuk menamatkan keganasan sejak kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif untuk meningkatkan keselamatan.
Polis berkata, mereka membawa lima anggota militan untuk mendapatkan semula senjata dan bahan letupan di pinggir Lahore awal pagi semalam apabila mereka telah diserang oleh sekumpulan kira-kira 9 anggota militan yang membebaskan tawanan.
Polis kemudian mengepung kawasan itu dan mencabar kumpulan militan menyerah diri.
"Satu pertempuran bersenjata berlaku. Apabila tembakan berhenti, 10 anggota militan ditemui mati akibat tembakan rakan sejenayah mereka yang melarikan diri," kata seorang jurucakap Jabatan Pencegahan Keganasan di Punjab dalam satu kenyataan.
Kata kenyataan itu, antara yang terbunuh ialah fasilitator serangan pengeboman berani mati pada bulan Februari di Lahore.
Lelaki itu ditangkap tidak lama selepas letupan itu berlaku setelah rakaman keselamatan menunjukkan dia berjalan dengan seorang pengebom.
Jamaat-ur-Ahrar mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada Februari di Lahore.
Kumpulan itu turut bertanggungjawab atas satu serangan pada Hari Easter yang mengakibatkan lebih 70 orang terbunuh.
#Jamaat-ur-Ahrar #kumpulan militan #Polis Pakistan
;