10,000 haiwan peliharaan ditinggalkan setiap tahun di Croatia

Bernama
Julai 11, 2024 18:26 MYT
Pada April tahun ini, undang-undang berkuat kuasa di Croatia yang memperuntukkan hukuman penjara bagi mereka yang meninggalkan haiwan dan melarang individu yang telah melakukan penganiayaan terhadap haiwan. - Gambar hiasan/Reuters
ZAGREB: Lebih 10,000 haiwan peliharaan ditinggalkan di Croatia setiap tahun, terutamanya apabila pemiliknya pergi bercuti, walaupun kempen kesedaran telah dijalankan oleh NGO Friends of Animals sejak 2002, lapor Agensi Berita Croatia (Hina).
"Angka ini merujuk tentang kita sebagai masyarakat, tentang sikap tidak bertanggungjawab kita," kata presiden Friends of Animals Luka Oman kepada Hina dalam satu temu bual. Beliau menambah bahawa walaupun angka itu tinggi, terdapat kesedaran yang semakin meningkat bahawa meninggalkan haiwan adalah tidak boleh diterima.
"Keadaan akan menjadi lebih teruk jika kami tidak berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini. Kami percaya bahawa jumlah haiwan yang ditinggalkan akan berkurangan jika kami terus meningkatkan kesedaran, meminda dan menguatkuasakan undang-undang, kembiri, mikrocip dan menggalakkan pengambilan haiwan peliharaan berbanding pembelian," kata Oman.
"Tidak ada sesiapa yang perlu menjaga haiwan, tetapi jika mereka memutuskan untuk melakukannya, mereka harus bertanggungjawab," tegasnya.
Pada April tahun ini, undang-undang berkuat kuasa yang memperuntukkan hukuman penjara bagi mereka yang meninggalkan haiwan dan melarang individu yang telah melakukan penganiayaan terhadap haiwan daripada memelihara haiwan.
Oman berkata bahawa meninggalkan haiwan mempunyai semua elemen kesalahan jenayah dan hukuman penjara bagi mereka yang meninggalkan haiwan adalah sangat wajar.
"Kami percaya bahawa undang-undang ini akan bertindak sebagai pencegahan, bahawa orang akan berfikir sebelum mengambil haiwan sama ada mereka mempunyai masa, wang, kehendak, kesabaran dan keadaan yang sesuai untuk menjaga haiwan selama kira-kira 15 tahun atau lebih sebelum mengambilnya. Kami juga menjangkakan bahawa perubahan undang-undang ini akan mencetuskan perubahan lain yang sangat diperlukan, seperti memperbaiki Akta Perlindungan Haiwan," katanya.
"Sekarang kami memerlukan undang-undang ini dikuatkuasakan di seluruh Croatia, untuk semua bandar dan majlis perbandaran memenuhi kewajipan undang-undang mereka untuk memantau mikrocip anjing dengan melawat isi rumah, untuk mendidik warga secara berkala tentang perlindungan haiwan, yang juga merupakan kewajipan undang-undang mereka dan untuk membiayai pengebirian anjing dan kucing angkat," kata Oman.
-- BERNAMA
#haiwan peliharaan #Croatia #kempen kesedaran #kekejaman terhadap haiwan #aniaya haiwan
;