1 maut dalam insiden tembakan di kampus Universiti North Carolina

Astro Awani
Ogos 29, 2023 12:44 MYT
Polis mengadakan sekatan di kampus universiti itu dalam usaha memburu suspek yang kemudiannya berjaya ditahan. -Reuters
CHAPEL HILL: Seorang staf fakulti dilapor terkorban dalam insiden tembakan di sebuah bangunan sains di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Menurut laporan awal, tembakan pertama dilepaskan dari Caudill Labs, kata jurucakap polis pada sidang akhbar susulan kejadian.
Siren kecemasan berbunyi kira-kira dua minit selepas pemanggil 911 melaporkan kejadian sekitar jam 1 tengah hari.
Polis yang tiba di lokasi mengeluarkan arahan sekatan serta-merta di kampus universiti dalam usaha memburu lelaki bersenjata itu.
Pelajar dan staf fakulti dilapor berlindung di bilik asrama, pejabat, dan dewan kuliah ketika pihak berkuasa menggeledah seluruh kampus.
Arahan sekatan ditarik balik sekitar jam 4.15 petang (waktu tempatan) selepas polis berjaya menahan suspek lebih tiga jam selepas laporan awal dibuat.
Suspek dan mangsa terbabit setakat ini masih belum dikenal pasti.
Motif serangan serta kemungkinan suspek mengenali mangsa juga sedang disiasat.
“Kami sedang mencari senjata api (digunakan suspek).
"Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada senjata api itu diperoleh secara sah,” kata jurucakap polis.
Universiti North Carolina, universiti awam pertama negara, menempatkan kira-kira 20,000 pelajar prasiswazah dan 12,000 pelajar siswazah.
Difahamkan semua kelas pada Selasa dibatalkan susulan kejadian.
#tembakan #Universiti North Carolina #staf fakulti #Caudill Labs
;