1 maut, 85 dijangkiti antraks di Yogyakarta, Indonesia
Bernama
Julai 4, 2023 00:05 MYT
Julai 4, 2023 00:05 MYT
JAKARTA: Seorang disahkan meninggal dunia akibat antraks dan 85 yang lain didapati dijangkiti selepas mereka memakan daging yang dijangkiti di wilayah Yogyakarta, Indonesia, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa.
Antraks ialah penyakit berjangkit maut yang lazimnya menyerang lembu atau kambing. Manusia boleh dijangkiti hanya apabila mereka bersentuhan dengan haiwan yang terkena antraks atau memakan dagingnya.
Menurut Xinhua, Ketua Badan Kesihatan Daerah Gunungkidul, Dewi Irawati dalam sidang akhbar berkata pihaknya mendapati penularan penyakit antraks di daerah itu selepas menerima laporan daripada Rumah Sakit Umum Pusat Sardjito milik kerajaan mengenai seorang penduduk berusia 73 tahun meninggal dunia akibat virus itu pada 4 Jun.
Agensi itu kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas pesakit dan mendapati dia memakan daging daripada lembunya sendiri selepas mati akibat penyakit.
"Kami kemudiannya mendapati pesakit turut mengagihkan daging itu kepada berpuluh-puluh penduduk lain di kawasan kejiranannya. Setelah melakukan ujian darah ke atas 125 penduduk, 85 daripadanya didapati dijangkiti," kata Irawati.
Irawati berkata pihak berkuasa wilayah bertindak pantas dengan meletakkan kawasan berhampiran sebagai zon merah selama 120 hari sejak penemuan itu dan menasihatkan penduduk supaya hanya memakan daging daripada ternakan yang sihat.
-- BERNAMA