1 maut, 4 anggota polis cedera dalam operasi buru suspek serangan Paris

AFP
Mac 16, 2016 10:59 MYT
Polis Belgium dan Perancis melancarkan gerakan memburu suspek besar-besaran lewat Selasa. -AFP
Polis Belgium dan Perancis melancarkan gerakan memburu suspek besar-besaran lewat Selasa selepas penyerang bersenjatakan mesingan Kalashnikov terbunuh dan empat pegawai cedera dalam operasi anti-keganasan di Brussels yang dikaitkan dengan serangan Paris.
Polis bersenjata dikritik kerana menjalankan pemburuan di siang hari di satu lokasi di pinggir bandar sunyi, mencetuskan satu siri pertempuran bersenjata yang mencederakan empat pegawai dan menyebabkan kanak-kanak terperangkap di sekolah berhampiran.
Perdana Menteri Belgium, Charles Michel berkata operasi masih diteruskan selepas pertempuran di subbandar Forest di selatan Brussels, sambil menambah bahawa ia ada "kaitan dengan serangan di Paris".
"Ketika apa yang dipercayai satu carian rutin, pasukan keselamatan telah diserang. Ini diikuti dengan operasi polis yang masih diteruskan," kata Michel pada satu sidang media.
Majlis keselamatan negara yang dianggotai menteri utama dan pegawai keselamatan akan bermesyuarat pada Rabu, katanya.
Michel mengucapkan terima kasih kepada penduduk kerana "sikap tenang" mereka ketika insiden tembak-menembak meletus di jalan-jalan dengan berpuluh-puluh anggota polis bersenjatakan sub-mesingan dan memakai topeng muka mengepung kawasan itu.
Mayat yang dijumpai belum dikenal pasti, tetapi pendakwa berkata dia bukan Salah Abdeslam, suspek utama dalam insiden pembunuhan di Paris pada 13 November yang meragut 130 nyawa.
Sumber polis Perancis berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada rakan sekutu seorang, atau lebih, daripada 11 yang telah didakwa di Belgium berhubung serangan itu.
#Charles Michel #gerakan memburu suspek #Polis Belgium dan Perancis #Salah Abdeslam #serangan Paris
;