1 maut, 14 cedera belon udara panas terhempas di Mesir

Bernama
Januari 5, 2018 04:57 MYT
Nahas berlaku ketika belon itu sedang melewati Tebing Barat di bandar Luxor dan terhempas disebabkan angin kencang manakala belon udara panas lain berjaya mendarat dengan selamat. REUTERS
Sekurang-kurangnya seorang pelancong terbunuh dan 14 lagi cedera selepas belon udara panas terhempas berhampiran bandar Luxor pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua, memetik agensi berita MENA.
Ketika kejadian, belon itu membawa kira-kira 20 orang termasuk pelancong dari pelbagai negara.
Pegawai keselamatan di Luxor memberitahu Xinhua, seorang lelaki warga Afrika Selatan berusia 34 tahun terbunuh dalam nahas itu, manakala yang cedera termasuk lima orang Australia, empat Perancis, tiga pelancong Afrika Selatan dan dua dari Argentina.
Sementara itu, beberapa media lain melaporkan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang wanita.
MENA menambah dua mangsa yang cedera dilaporkan mengalami kecederaan serius dan mangsa cedera kini menerima rawatan di Luxor International Hospital.
Nahas berlaku ketika belon itu sedang melewati Tebing Barat di bandar berkenaan dan terhempas disebabkan angin kencang manakala belon udara panas lain berjaya mendarat dengan selamat.
Pelabuhan Laut Mediterranean dan Laut Merah di seluruh Mesir ditutup akibat angin kencang yang menyebabkan gelombang setinggi tiga meter.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah mengumumkan darurat disebabkan angin berdebu dan jarak penglihatan yang kurang baik.
Sejak beberapa tahun yang lalu, Luxor menyaksikan banyak kemalangan belon udara panas berlaku.
Sebelum ini, pada 2013, 19 pelancong termasuk sembilan dari Hong Kong, terbunuh apabila belon panas yang dinaiki terbakar.
Pada 2016 pula seramai 22 pelancong China cedera ketika belon udara melakukan pendaratan dan selepas kejadian itu Mesir menghentikan sementara aktiviti belon udara panas.
-- BERNAMA
#angin kencang #belon udara panas #gelombang #Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah #laut #maut #Mesir #pelancong
;