1.74 juta warga Indonesia di Malaysia tunai tanggungjawab
Khairunnisa Kasnoon
April 5, 2014 09:20 MYT
April 5, 2014 09:20 MYT
1.74 juta pendaftar pemilih tetap warganegara Indonesia di seluruh Malaysia akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih calon perwakilan legislatif 2014, esok.
Daripada jumlah itu, 402,730 akan membuang undi di empat pusat mengundi di Kuala Lumpur.
Penasihat menteri hal ehwal politik Kedutaan Besar Republik Indonesia, Freeddy M. Panggabean memaklumkan, enam tempat diperuntukkan untuk membuang undi luar negeri melibatkan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Tawau.
Selain pemilihan secara langsung, pengundi juga boleh menjalankan tanggungjawab dua cara lain iaitu menghantar kotak undi ke lokasi seperti kilang, lading atau kebun serta dengan mengirimkan undian secara pos.
Tambahnya, proses pengiraan undi hanya akan dibuat pada hari pengundian di Indonesia.
Pengundi Indonesia yang berada di luar negara itu perlu menjalani pengundian awal ekoran penjumlahan undi akan dilakukan pada tarikh sama dengan Pemilihan Umum di Indonesia iaitu 9 April.
Keputusan pemilihan hanya akan diumumkan secara rasmi pada Mei dengan penglibatan 130 kedutaan dan konsulat di seluruh dunia.
714 petugas pemilihan akan bertugas semasa proses berlangsung di Malaysia.
Setelah berakhirnya pemilihan perwakilan legislatif 2014 ini, mereka kemudian akan memilih calon presiden pula pada Julai nanti.