1.67 juta nyawa jadi korban di India pada 2019, semuanya gara-gara pencemaran udara

Agensi
Disember 23, 2020 13:21 MYT
Tuntutan kepesatan ekonomi India seolah-olah berkadar langsung dengan angka korban rakyatnya akibat pencemaran. - Reuters
NEW DELHI: Udara yang bertoksik membunuh lebih ramai rakyat India pada tahun 2019 berbanding pada tahun 2017, lapor jurnal The Lancet pada Selasa.
Kajian jurnal tersebut menyatakan bahawa pencemaran udara di negara itu meragut nyawa seramai 1.67 juta orang, iaitu membentuk 18 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan di India.
India yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang seiring dengan korban manusia akibat kualiti udara buruk, pernah mencatatkan angka kematian sejumlah 1.24 juta orang, atau 12.5 peratus pada 2017.
Analisis mendapati pencemaran mengakibatkan penyakit pulmonari obstruktif kronik, jangkitan respiratori, barah paru-paru, penyakit jantung, strok, diabetes, gangguan pra kehamilan dan katarak.
Tambah jurnal itu, New Delhi yang menjadi ibu negara paling tercemar di dunia, merekodkan impak ekonomi tertinggi per kapita.
Angka kematian pada 2019 membawa kepada kerugian sekitar AS$36.8 bilion, atau 1.36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India, dengan negeri Uttar Pradesh dan Bihar yang miskin dan padat populasi mengalami kerugian ekonomi tertinggi.
"Pemulihan kualiti udara di seluruh India sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19, dan kenaikan semula paras pencemaran semasa perintah itu dilonggarkan, memberi maklumat berharga tentang hubungan antara pengurangan pencemaran udara dengan aktiviti manusia,” tambah laporan itu.
Pemerintah India dalam satu kenyataan berkata, negara itu perlu melabur lebih khusus dalam program kawalan pencemaran jika mahu mencapai hasrat menjadi ekonomi AS$5 trilion pada 2024, berbanding sekitar AS$2.9 trilion sekarang ini.
Tiga bandar utama India - New Delhi, Kolkata dan Mumbai – pernah tercatat dalam senarai 20 bandar paling tercemar di dunia, menurut laporan syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir pada Selasa.
#India #New Delhi #pencemaran udara #kematian #rakyat india #ekonomi #pencemaran
;