Zurich Insurance lihat pelaburan jangka panjang, tidak fokus kelemahan ringgit
Najib Aroff
September 2, 2015 17:06 MYT
September 2, 2015 17:06 MYT
Zurich Insurance Malaysia yakin asas ekonomi negara masih kukuh dan ketidaktentuan semasa termasuk kejatuhan nilai ringgit hanya bersifat sementara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Philip Smith berkata fokus syarikat itu terhadap Malaysia tidak berubah dengan sasaran menggandakan pendapatan dalam tempoh tiga ke lima tahun.
"Pandangan korporat kami terhadap Malaysia tidak berubah kerana kejatuhan matawang hanya sementara.
"Tumpuan kami dalam keadaan semasa adalah mewujudkan fleksibiliti dan meletakkan produk kami pada kedudukan betul untuk bertindak balas terhadap kesan ekonomi yang sementara," kata Smith pada sidang media selepas pelancaran produk Optimuz oleh syarikat.
Turut hadir adalah Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Smith berkata Optimuz menumpukan kepada segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi pakej insurans lengkap merangkumi insurans am dan hayat.
Ia menawarkan sehingga 11 segmen perlindungan dengan insurans kebakaran sebagai perlindungan utama sementara sepuluh segmen lain dikategorikan di bawah Insurans Am dengan satu Insurans Hayat berkumpulan.
Menurut Presiden Insurans Am Zurich David Fike, syarikat yakin mampu menarik minat PKS memandangkan saiz PKS yang besar di Malaysia dengan anggaran lebih 600,000.
"Zurich kini mempunyai lebih 20 ribu PKS melanggan insurans kami," katanya.
Sementara itu Smith berkata syarikat mempertimbangkan Gabungan dan Pengambilalihan (M&A) untuk pengembangan namun setakat ini masih belum melakukan sebarang perbincangan berkaitan perkara tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Al Amin berkata pertumbuhan PKS diramal kekal kukuh tahun ini berdasarkan prestasi cemerlang tahun lepas pada 6 ke 7 peratus.
"Ia melebihi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.
Beliau menambah PKS Malaysia mampu berdepan ketidaktentuan kelemahan ringgit pada masa kini.