Zon Ekonomi Khas, hab kewangan bakal lonjak Johor ke persada global
Bernama
September 22, 2023 11:53 MYT
September 22, 2023 11:53 MYT
JOHOR BAHRU: Ketika cadangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) antara Johor dan Singapura mula menjadi kenyataan seiring dengan pembangunan zon kewangan khas di Forest City, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar membayangkan masa depan yang cerah bagi Johor, bertapak kukuh di persada global.
Dalam berkongsi visi baginda untuk meletakkan Johor menonjol di peta global, Sultan Ibrahim menekankan tentang kepentingan untuk menarik lebih banyak pelaburan, terutamanya daripada syarikat teknologi tinggi.
"Sudah tentu, kita mahu pelabur asing. Tetapi, jika anda melihat di peringkat dunia, siapa yang melabur lebih banyak di negara ini? Jadi, cuba kita lihat pada teknologi tinggi. Kita berada di kedudukan untuk memilih industri kita," titah baginda semasa wawancara eksklusif bersama Bernama di kediaman peribadi baginda, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi wawancara itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Jamaluddin Muhammad.
Sultan Ibrahim bertitah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan cadangan penubuhan zon perdagangan dan hab kewangan tersebut dan semasa lawatan baginda ke Singapura baru-baru ini, Ho Ching, isteri Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Johor.
Ini, titah baginda, menunjukkan Singapura menyukai idea untuk mewujudkan perdagangan, dengan hab kewangan dan perdagangan bebas.
Ho Ching, merupakan ketua pegawai eksekutif dana pelaburan milik negara Singapura, Temasek, dari 2004 hingga 2021.
Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura, yang dijadualkan bulan depan di republik itu, dijangka membincangkan lebih lanjut mengenai SEZ, termasuk memuktamadkan Terma Rujukan (ToR) bagi zon yang dicadangkan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz berkata baru-baru ini bahawa dengan SEZ menjadi kenyataan, Johor boleh menjadi Shenzhen seterusnya, iaitu pusat global bagi teknologi, penyelidikan, pembuatan, perniagaan dan ekonomi, kewangan, pelancongan dan pengangkutan di China.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan mengenai potensi Johor sebagai pengeluar tenaga solar yang signifikan berikutan terdapat tanah yang banyak di negeri tersebut.
Malah, baginda bertitah Johor mempunyai ribuan hektar tanah tidak digunakan yang boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan tenaga solar.
"(Pada masa depan), kita boleh membekalkan (tenaga) solar ke Singapura," titah baginda sambil menambah sudah terdapat minat ke arah usaha berkenaan.
Titah baginda, Pengerang dan Pontian juga merupakan lokasi ideal bagi industri solar itu.
Menyentuh sumber air, Sultan Ibrahim bertitah Johor akan mempunyai bekalan air mencukupi selagi sumber berkenaan diuruskan secara cekap.
Bagaimanapun, titah baginda, Johor turut meneroka usaha kitar semula air, termasuk menggunakan air sungai bagi tujuan perindustrian.
Kesemua kilang pada masa ini menggunakan air bertapis yang diperoleh daripada hidran atau paip.
"Kilang-kilang ini menggunakan air bertapis; (sedangkan) mereka patut mendapat air industri. (Bagaimanapun), taman-taman perumahan bersebelahan dengan kilang-kilang ini tiada air.
"Oleh itu, kita sedang meneliti usaha kitar semula air industri dan menggunakan air sungai bagi kegunaan industri.
"Ada beberapa syarikat yang telah mengemukakan cadangan, tetapi kerajaan (kerajaan negeri Johor) dan saya akan menelitinya dan menilai bagaimana kerajaan boleh meraih manfaat daripada usaha ini," titah baginda.
-- BERNAMA