Zeti: Bank Negara tidak akan dipengaruhi agenda politik
Luqman Hariz
November 13, 2015 18:48 MYT
November 13, 2015 18:48 MYT
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Bank Negara tidak akan sekali-sekali dipengaruhi oleh sebarang tekanan atau agenda politik sama ada dalam siasatannya terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu pun apa-apa entiti lain.
Kata beliau, kepercayaan rakyat terhadap institusi bank pusat amat penting dalam memastikan keberkesanan bank itu.
“Saya sudah bekerja dengan bank pusat selama 35 tahun, kami sentiasa lakukan semua yang kami mampu bagi melindungi institusi ini dari terjebak dengan sebarang agenda politik,” tegas beliau.
Beliau menegaskan keberkesanan bank pusat adalah berdasarkan kepercayaan dan rasa hormat rakyat, industri, dan pasaran terhadap entiti tersebut.
Justeru beliau berkata Bank Negara tidak akan ditarik ke dalam apa-apa perkembangan politik atau agenda politik dalam proses siasatannya.
“Kami hanya menumpu kepada melakukan tugas kami dengan sebaik mungkin,” kata Zeti.