YTL Group akan labur £4 bilion di UK, sedia lebih 30,000 peluang pekerjaan
Hasimi Muhamad
Januari 15, 2025 07:30 MYT
Januari 15, 2025 07:30 MYT
LONDON: Firma Malaysia, YTL Group mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak £4 bilion (RM21.96 bilion) di United Kingdom (UK) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak £2 bilion akan diperuntukkan untuk pembangunan bandar baharu Brabazon di Bristol, yang merupakan bandar terbesar di barat daya England.
Manakala bakinya akan dilaburkan dalam perniagaan YTL di negara itu.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan YTL UK, Colin Skellett, pelaburan tersebut yang merangkumi bandar baharu paling pintar, akan turut menyediakan lebih 30,000 pekerjaan di seluruh UK.
"Kami telah memperuntukkan 68 peratus daripada ruang untuk kegunaan komersial, dan ruang komersial ini akan mencipta banyak pekerjaan.
"Fokus ruang komersial ini adalah pada 'aerospace' dan teknologi baharu, termasuk perkembangan penting dalam kecerdasan buatan (AI).
"Ini akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, selain aktiviti-aktiviti umum yang akan berlangsung.
"Dengan jutaan orang dijangka mengunjungi tapak ini setiap tahun, terutamanya dengan adanya arena dan kompleks hiburan, kami pada asasnya sedang mencipta sebuah komuniti baharu yang akan memberi manfaat kepada ekonomi kawasan yang lebih luas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas majlis pelancaran projek pembangunan bandar baharu Brabazon, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Rabu waktu tempatan.
Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Eksekutif YTL Group Tan Sri Francis Yeoh dan Secretary of State for Business and Trade of UK Jonathan Reynolds.
Pembangunan Brabazon yang memenangi anugerah, dijangka mengubah tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan yang menempatkan kemudahan penting.
Selain pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi, projek itu juga akan membina tiga sekolah baharu serta arena dengan kapasiti 19,500 tempat duduk, ruang persidangan dan pameran.
Mengulas mengenai polisi UK dalam menarik pelaburan pula, Skellett berkata keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini memerlukan negara itu untuk mendapatkan pelaburan yang besar termasuk daripada syarikat-syarikat Asia.
"UK memerlukan pelabur luar negara, seperti yang telah dikatakan oleh kerajaan. Inilah sebabnya hari ini, kami melihat sambutan yang sangat baik daripada Kerajaan UK dan mesej yang datang daripada Perdana Menteri kami (Keir Starmer), salah satunya adalah, sangat menggembirakan untuk melihat pelaburan Malaysia di UK.
"Jadi, situasi global adalah, kita memerlukan pelabur dari Asia untuk melabur dan mengambil pandangan jangka panjang," ujar beliau.
YTL, yang merupakan pelabur terbesar Malaysia ke UK, membuat pelaburan pertama di negara itu pada 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.