Xin Hwa Holdings tersenarai di pasaran Bursa

Nurulhana Ismail
Jun 30, 2015 07:29 MYT
Penyenaraian Xin Hwa di pasaran ACE Bursa antara lain bertujuan mengembangkan pelan perniagaan syarikat termasuk pembinaan gudang baru di Johor dengan nilai pelaburan RM18.6 juta. - Gambar fail
Xin Hwa Holdings Berhad (XHH), syarikat integrasi gudang dan logistik yang diasaskan di Johor Bahru berhasrat mengembangkan perniagaannya di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Kewangan Xin Hwa Holdings, Kok Poh Fui berkata ia sejajar dengan matlamat syarikat untuk meningkatkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Bercakap selepas penyenaraian Xin Hwa di pasaran ACE Bursa, Kok berkata syarikat itu turut berhasrat menjalinkan kerjasama global untuk membangunkan bakat baru.
"Kami akan memfokuskan pengangkutan darat kami dan bekerjasama dengan syarikat multinasional yang berminat untuk menarik lebih banyak bakat baru agar perniagaan ini dapat dikembangkan bukan sahaja di peringkat domestik, malahan global,” ujarnya.
Penyenaraian itu bertujuan mengembangkan pelan perniagaan syarikat termasuk pembinaan gudang baru di Johor dengan nilai pelaburan RM18.6 juta, penambahan 101 unit kenderaan baru seperti treler sebanyak RM 11.35 juta selain pembukaan cawangan baru di Kemaman, Terengganu.
Xin Hwa merupakan syarikat penyedia kargo dan logistik yang diasaskan pada 1965 di Johor Bahru.
Xin Hwa disenarai dengan premium 9 sen dari harga tawaran 70 sen sesaham.
Pada pembukaannya, sebanyak 2.438 juta saham didagang.
Xin Hwa menawarkan 54 juta saham dengan 37.78 juta bagi orang awam manakala baki 16.22 juta saham awal bagi pelabur terpilih. Ia mencatat lebihan langganan 18.74 kali.
Setakat jam 11:30 pagi, harga saham Xin Hwa didagang pada 84.5 sen.
#ACE Bursa #bursa #saham #Xin Hwa Holdings