Xiaomi mulakan pembangunan kereta elektrik kerana takut halangan dagangan Amerika

Amanz
Julai 29, 2024 09:40 MYT
Buat masa ini, tidak diketahui lagi bilakah Xiaomi akan mula memasarkan kenderaan mereka di peringkat global. - Foto Amanz
XIAOMI telah pun memperkenalkan kereta elektrik mereka pada tahun ini, dan mula menjualnya di pasaran China – memperlihatkan permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna.
Menyentuh mengenainya, baru-baru ini CEO Xiaomi Lei Jun berkongsi berkenaan kisah di sebalik pembangunan kereta elektrik berkenaan.
Menurut Lei Jun, pada tahun 2021, mereka risau akan halangan dagangan oleh Amerika Syarikat, membuatkan mereka meneroka perniagaan baharu, iaitu pembangunan kereta elektrik sepenuhnya.
Seperti ramai sedia maklum, pada 2021, pihak Amerika Syarikat mula melabelkan Xiaomi sebagai syarikat milik “tentera komunis China”, membawa kepada potensi ia dikenakan halangan dagangan.
Ketika itu sendiri, Xiaomi telah mengambil langkah awal dalam membawa kes berkenaan ke mahkamah, dan memenangi kes berkenaan, sekali gus mengatasi halangan dagangan Amerika Syarikat.
Disebabkan oleh insiden berkenaan, Lei Jun telah mulakan langkah dalam meneroka perniagaan baharu yang mengurangkan impak sekiranya Xiaomi dihalang dagangan – seperti dikenakan terhadap Huawei.
Pada hari ini, Xiaomi masih terus bersaing sihat dalam arena telefon pintar, tetapi telah mulakan pembangunan HyperOS sebagai sistem operasi khusus mereka, dan membuat beberapa perubahan pada kaedah operasi syarikat.
Buat masa ini, tidak diketahui lagi bilakah Xiaomi akan mula memasarkan kenderaan mereka di peringkat global.
#Amerika Syarikat #China #Xiaomi #kereta elektrik
;