X saman pengiklan, dakwa boikot sebabkan pendapatan menjunam

Amanz
Ogos 7, 2024 02:50 MYT
CEO X, Linda Yaccarino mengumumkan, syarikat itu akan menyaman badan pengiklanan yang didakwa memboikot X.
SUDAH hampir dua tahun X/Twitter diambil alih oleh Elon Musk pada nilai $44 billion.
Di bawah pemilikan baharu, nasib platform media sosial ini semakin tenat dengan pendapatan pengiklanan menjunam 40% dalam tempoh enam bulan pertama berbanding tahun sebelumnya.
Elon Musk menyalahkan syarikat-syarikat yang enggan mengiklankan perkhidmatan mereka di X.
Pagi ini CEO X, Linda Yaccarino mengumumkan syarikat akan menyaman badan pengiklanan yang didakwa memboikot X.
Dalam video hampir dua minit yang dikongsi oleh Yaccarino pagi tadi, beliau mengumumkan saman ke atas Global Alliance for Responsible Media (GARM), the World Federation of Advertisers (WFA), dan ahli GARM CVS Health, Mars, Orsted dan Unilever kerana memboikot pengiklanan di X.
Alasan yang diberikan ialah tindakan kesemua pihak di atas adalah menyalahi undang-undang.

A Message to X Users pic.twitter.com/6bZOYPhWVa

— Linda Yaccarino (@lindayaX) August 6, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah Yaccarino lagi, boikot ini adalah bertujuan untuk “melucutkan pengguna X, sama ada peminat sukan, pemain, wartawan, aktivis, ibu bapa atau pemimpin politik dan korporat, daripada Dataran Bandar Global.”
Sebelum ini pelbagai jenama terkemuka dunia bertindak menarik iklan daripada X kerana ia dipaparkan di bawah kandungan yang dilabel berbaur perkauman, kebencian dan lucah.
X berkata sistem pengiklanan mereka telah dikemas kini bagi mengelakkan kejadian ini daripada berlaku lagi bagi tujuan keselamatan.
Namun begitu, pengiklanan masih tidak kembali pulih dan X perlu menjana pendapatan dengan menjual langganan X Premium yang menawarkan calit biru pengesahan identiti dan akses kepada beberapa ciri eksklusif X Pro.

We tried peace for 2 years, now it is war https://t.co/elgT62uDtF

— Elon Musk (@elonmusk) August 6, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam ciapan yang turut dihantar oleh Elon Musk pagi tadi, beliau berkata X sudah cuba berdamai selama dua tahun dan kini tiba masanya untuk berperang.
Tahun lalu Musk telah memberikan amaran untuk menyaman syarikat-syarikat yang enggan mengiklankan produk di X serta mencerca mereka dengan kata-kata lucah.
Tindakan Musk hanya mengeruhkan lagi keadaan dengan semakin banyak syarikat menarik diri.
Selepas diambil alih, Musk bertindak membuang majoriti kakitangan yang dikatakan tidak diperlukan khususnya di bahagian pengiklanan, hubungan dengan pelanggan dan pasukan keselamatan yang melakukan tapisan kandungan berbahaya sebagai langkah mengurangkan kos.
Impaknya kini dapat dilihat dengan jelas membuatkan nilai X kini berkurangan 71% daripada $44 bilion yang dibayar oleh Musk.
#Elon Musk #saman #iklan #boikot