Wujudkan polisi lindungi peniaga tempatan di kompleks beli-belah - MTEM
Wan Syamsul Amly
Februari 19, 2015 19:00 MYT
Februari 19, 2015 19:00 MYT
Kerajaan disaran mewujudkan polisi khas untuk melindungi peniaga tempatan di kompleks beli-belah selain memastikan kedudukan perniagaan mereka berada di lokasi strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar berkata, ia bagi memastikan kuantiti jualan serta promosi produk tempatan seperti diperkenal kerajaan berjalan lancar.
"Ia hanya berlaku di negara kita. Ia tidak terjadi di negara-negara ASEAN lain yang memberi keutamaan kepada produk negara mereka di kompleks membeli-belah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Nizam mengulas rungutan peniaga tempatan di Suria KLCC yang disifatkan tidak dapat 'hidup' lama di lokasi itu kerana tekanan pengurusan pusat membeli belah terkemuka berkenaan.
Pada Rabu, Pengasas BritishIndia, Pat Liew turut memfailkan saman terhadap pengurusan Suria KLCC kerana cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.
Tindakan itu mendapat sokongan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di dalam laman Facebooknya yang meminta pengurusan Suria KLCC untuk memainkan peranan mempromosikan jenama-jenama negara.
Kata Mohd Nizam lagi, rungutan peniaga tempatan di Suria KLCC disifatkan hanya pecahan kecil daripada keseluruhan kes seumpama itu di seluruh kompleks beli-belah di seluruh negara.
"Kes itu sebenarnya sudah lama berlaku dan sukar untuk diselesaikan.
"Pengurusan kompleks beli-belah biasanya membandingkan landskap industri penjualan produk tempatan dengan barangan antarabangsa.
"Ia dilihat sikap pengurusan yang mahu untung besar dengan penjualan dan margin keuntungan produk berkenaan yang diperoleh daripada pemilik premis," jelasnya.
Katanya lagi, peniaga tempatan seharusnya diberikan sekurang-kurangnya 50 peratus ruang di kedudukan strategik di pusat membeli-belah.
"Kegagalan pengurusan melakukannya menyebabkan faktor kejatuhan jualan produk tempatan.
"Kita faham perlunya produk antarabangsa namun berilah peluang kepada pemilik premis produk tempatan ini untuk 'hidup', pengurusan kompleks janganlah terlalu pentingkan diri sendiri," ujarnya.