Wujud pangkalan data perumahan bagi kawal harga rumah
Najib Aroff
Ogos 3, 2016 16:41 MYT
Ogos 3, 2016 16:41 MYT
Satu pangkalan data bersepadu kajian demografi perumahan negara perlu diwujudkan bagi menjamin bekalan perumahan yang konsisten pada harga berpatutan.
Menurut Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI) Dr Suraya Ismail melalui Bajet 2017, kerajaan harus memperuntukan dana pengwujudan pangkalan ini yang bakal membantu pengguna dan pemaju.
Ujarnya pangkalan data itu harus merangkumi maklumat porjek yang bakal dibina di sesuatu kawasan, permintaan di kawasan berkenaan serta projek sedia ada.
Melalui cara itu, pemaju akan membina rumah berdasarkan permintaan sebenar sesuatu kawasan dan pada masa sama pengguna dapat melakukan penilaian dengan pantas sebelum membuat keputusan pembelian.
“Pangkalan data ini membolehkan pembeli tahu pembinaan baharu di kawasan mereka dalam masa akan datang termasuk harga dan keluasan pembinaan.
“Ini membolehkan mereka merancang berdasarkan gaji mereka, bilakah mereka akan boleh membeli, jadi komitmen itu sudah diwujudkan.
“Pada masa sama rumah sedia ada di kawasan itu juga harus dimasukan dalam pangkalan data supaya pengguna tahu harga perumahan sedia ada.
“Pemaju dan pengguna boleh memasuki pangkalan data ini dan jika ia berjaya dilaksanakan, harga rumah akan lebih terkawal.” katanya dalam temubual bersama Astro Awani baru-baru ini.
Suraya berkata kewujudan pangkalan data ini bakal melengkapkan langkah kawalan harga rumah sedia ada oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia.
#Dr Suraya Ismail
#khazanah research institute
#KRI
#Pengakalan data perumahan
#Perumahan Malaysia
#Perumahan Negara