WTCKL sedia jadi projek perintis pembukaan semula industri acara perniagaan

Ridauddin Daud
September 25, 2021 13:31 MYT
Irmohizam berkata, pembukaan industri acara perlu dilihat sebagai acara perniagaan dan bukannya kategori sosial, perhimpunan orang ramai mahupun acara hiburan. - Gambar World Trade Centre Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bersedia menjadi ‘projek perintis’ bagi industri acara perniagaan dengan beroperasi bermula Oktober ini namun berkapasiti 50 peratus pengunjung, sekiranya kerajaan memberi peluang kepada mereka.
Pengarah Eksekutif Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, industri tersebut kini semakin tenat malah kerugian dianggarkan melebihi RM4.05 bilion sejak tahun lalu.
Tegasnya, pembukaan industri acara perlu dilihat sebagai acara perniagaan dan bukannya kategori sosial, perhimpunan orang ramai mahupun acara hiburan.
“Bagi WTCKL sendiri, semua kakitangan telah lengkap divaksin dan syarikat tidak membuang pekerja biarpun terkesan teruk dengan masalah pandemik COVID-19 dan ekonomi.
PPV WTCKL | Kejayaan boleh jadi rujukan buat 320 WTC seluruh dunia
“Seharusnya bidang acara perniagaan ini boleh dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sama, bukan sahaja di sini malah bagi semua pemain industri acara.
“WTCKL berbesar hati melaksanakan percubaan bagi pembukaan industri ini mengikut fasa bermula Oktober ini dengan permulaan seramai 50 peratus pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, mustahil untuk pemain industri dapat bertahan jika tidak dibuka sekarang dan sekiranya hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), Irmohizam menyifatkan ia sudah pun terlambat.
“Penelitian bersama antara kerajaan dan pemain industri bidang acara adalah perlu sehingga industri ini dibuka segera sebelum terlambat.
“Cadangan garis panduan seperti pematuhan SOP yang ketat, had kehadiran pengunjung bermula dengan 50 peratus, kawalan jarak pergerakan, memastikan sistem ventilasi yang diperiksa secara berkala, pengesanan kontak dan kebersihan persekitaran serta pengesahan pengunjung bebas jangkitan wajar diambil kira.
Vaksin COVID-19 | Penerima vaksin PPV WTCKL cecah 18 ribu sehari
“Industri acara perniagaan ini adalah penyelamat dan kunci kepada negara bagi mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan yang betul,” ujarnya.,
Katanya lagi, persetujuan jenis dan kaedah menganjurkan acara berteraskan perniagaan boleh diperhalusi sebaik mungkin dalam masa terdekat.
“Alangkah baiknya jika perkara ini menjadi agenda teratas dalam senarai pencapaian 100 hari Perdana Menteri kita dalam usaha pembukaan Industri acara perniagaan.
“Ia bukan sahaja nyawa rakyat dapat diselamatkan malahan kesejahteraan hidup bersama dalam konteks Keluarga Malaysia dapat dikecapi serentak,” katanya.
#PPN #industri acara perniagaan #WTCKL #Irmohizam Ibrahim
;