WTC KL komited tingkatkan peranan kembalikan kestabilan ekonomi serantau - Irmohizam
Astro Awani
Julai 6, 2021 12:24 MYT
Julai 6, 2021 12:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) akan terus bersama-sama dengan 320 ahli gabungan Persatuan WTC, bagi meningkatkan peranannya dalam perkhidmatan perdagangan, serta melakukan kerjasama dalam menyatakan pendirian global.
Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, WTC KL juga akan bekerjasama rapat dengan WTC Shanghai dalam meneroka perkhidmatan perdagangan serta zon perdagangan bebas di serata dunia.
Jelasnya lagi, hubungan rapat Malaysia dan China telah membantu WTC KL untuk diiktiraf sebagai tumpuan dalam rantau ASEAN sebagai pemudahcara perdagangan dan pelaburan.
“Kami percaya dengan semangat ‘One Belt One Road’ - ‘Peace and Cooperation, Openness and Inclusiveness, Mutual Learning, and Mutual Benefit’, dan kami berhasrat untuk meneruskan hubungan ini dengan meluaskan lagi kemungkinan dalam perdagangan luar dan perniagaan dengan pihak berkaitan di serata dunia.
“Saya juga yakin bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang telah ditandatangani 13 negara termasuk Malaysia dan China, akan mempercepatkan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan untuk kedua-dua China dan Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di seminar antarabangsa secara maya bertajuk ‘Exploring Port Klang & Port Klang Free Zone (PKFZ)’, pada pagi Selasa.
Seminar tersebut dianjurkan WTCKL, dengan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), COIC Shanghai, Malaysia-China Trade Expo (MCTE) dan World Trade Centre Shanghai.
Menurut kenyataan yang dilampirkan, China merupakan rakan stratregik utama WTC KL dalam menjayakan gagasan jalur sutera memandangkan di China memiliki empat pusat dagangan dunia antaranya di Shanghai, Harbin, Guangzhou dan Xiamen.
WTC KL, jelas Irmohizam, juga bekerjasama dengan MATRADE, MIDA, dan MITI bagi menjayakan agenda memperkasakan perdagangan serantau, dan ia harus digerakkan secara aktif bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelabur antarabangsa, terutamanya dalam melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN)
Dalam pada itu, Irmohizam, yang juga Ahli Lembaga Pengarah MATRADE berkata, PKFZ telah muncul sebagai pusat penghantaran dan pengedaran kargo serantau di Malaysia.
Katanya lagi, lokasi PKFZ yang strategik – iaitu di Selat Melaka, antara laluan kapal tersibuk di dunia – menjadikan ia sebagai pelabuhan yang ideal untuk pengedaran serantau, serta aktiviti penyampaian antara Timur dan Barat.
“Kami sangat teruja untuk kesemua negara peserta menerokai peluang yang disediakan oleh perdagangan dan logistik di negara ini, yang akan mengukuh lagi hubungan bilateral sedia ada.
“Saya amat yakin perkhidmatan dan perniagaan yang ada di PKFZ dapat memberi keuntungan kepada semua yang terlibat. Dalam era pandemik, kita perlu terus memandang ke hadapan, dan mencari peluang yang ada bagi mengembalikan kestabilan untuk ekonomi dan pertumbuhan sosio-ekonomi di negara kita,” katanya lagi.
#Irmohizam Ibrahim
#WTC KL
#WTC
#PKFZ
#Port Klang Free Zone
#ASEAN
#ekonomi
#pandemik
#Malaysia
#Matrade
#MITI
#Kuala Lumpur