WPCESB tuntut saman ganti rugi lebih RM483 juta daripada WHB
Astro Awani
Jun 1, 2023 12:10 MYT
Jun 1, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR : Western Power Clean Energy Sdn Bhd (WPCESB), sebuah syarikat tempatan yang dimiliki oleh China Western Power Engineering & Construction Co. Ltd dan China Western Power International Pte Ltd, memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Worldwide Holdings Bhd (WHB), sebuah syarikat awam yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tabung Warisan Negeri Selangor.
Tuntutan saman itu antara lain untuk mendapatkan ganti rugi lebih RM368 juta.
Ia susulan perjanjian yang ditandatangani oleh WPCESB dan WHB menerusi permeteraian perjanjian pembangunan bersama (JDA) untuk membangun, membina, mengurus, mengendali dan mengekalkan fasiliti kemudahan rawatan sisa dan penukaran sisa kepada tenaga terletak di Jeram menerusi syarikat tujuan khas yang dikenali sebagai Worldwide Green Energy Sdn Bhd (WGE).
WGE dimiliki bersama oleh WPCESB dan WHB, dengan WPCESB memegang 45 peratus saham dan WHB memegang 55 peratus saham.
Perkongsian ini dinyatakan dalam Perjanjian Pemegang Saham bertarikh 5 Mac 2019 (SHA) antara WPCESB dan WHB.
Tuntutan WPCESB terhadap WHB, antara lain, adalah atas persetujuan yang dilanggar dalam JDA dan SHA.
Saman undang-undang ini telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tarikh pengurusan kes telah ditetapkan pada 21 Jun 2023.