Wisma Putra sokong hasrat Belanjawan 2024 tingkat kedudukan Malaysia di persada antarabangsa
Bernama
Oktober 14, 2023 12:33 MYT
Oktober 14, 2023 12:33 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) menyokong penuh hasrat Belanjawan 2024 untuk meningkatkan semula kedudukan dan martabat Malaysia di persada antarabangsa.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu berkata secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memperuntukkan RM1.127 bilion untuk Kementerian Luar, berbanding RM971.1 juta pada 2023.
"Belanjawan ini membolehkan kementerian mempromosikan keamanan serantau, mengangkat isu antarabangsa yang berkepentingan dan memperluas peranan dan pengaruh Malaysia melalui penglibatan aktif di platform antarabangsa," katanya.
Wisma Putra juga bertekad untuk terus mengukuhkan penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia, termasuk dengan meningkatkan penggunaan aplikasi digital dan teknologi ICT dan memperluas pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara.
Daripada jumlah itu, RM916.9 juta merupakan belanja mengurus, iaitu peningkatan sebanyak13.25 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala belanja pembangunan sebanyak RM209.8 juta iaitu peningkatan sebanyak 29.86 peratus.
Peruntukan 2024 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur di Kementerian Luar dan Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara, menambah baik kebajikan penjawat awam dan memperkasakan modal insan kementerian.
Dalam hal ini, menurut kenyataan itu peruntukan besar berjumlah RM10 juta yang buat julung kali disediakan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri, adalah penting bagi kementerian membela nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan kes-kes kebajikan lain di luar negara.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri meningkatkan keupayaan kementerian dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.
"Di samping itu, sokongan padu kerajaan turut membolehkan Kementerian Luar memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam sektor ekonomi dan pembangunan negara dan mengembalikan imej cemerlang Malaysia di mata dunia," kata Wisma Putra.
-- BERNAMA