WIEF ke-14 di Abu Dhabi beri tumpuan kepada masa depan mampan

Dagang News
November 8, 2023 20:05 MYT
Setiausaha Agung Yayasan WEIF, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman; Pengerusi Yayasan WIEF, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar; dan Pengerusi ADDED, Ahmed Jasim Al Zaabi (kiri-kanan) bergambar bersama. - Foto kredit WIEF
KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) edisi ke-14, yang akan berlangsung tiga hari dari 6 hingga 8 Februari 2024, akan memberi tumpuan kepada membentuk masa depan yang mampan dengan menangani cabaran utama, meneroka peluang baharu serta mempamerkan strategi dan rumusan inovatif terkini untuk memacu pembangunan sosio-ekonomi.
Forum dihoskan oleh Jabatan Pembangunan Ekonomi Abu Dhabi (ADDED), yang dilancarkan pada 2005 oleh Yayasan WIEF bermatlamat untuk mengukuhkan dialog dan pertukaran pengetahuan antara pegawai kanan kerajaan, ahli akademik dan pemimpin perniagaan dari seluruh dunia.
Forum berkenaan akan menghimpunkan pemimpin berpengaruh, penggubal dasar, sarjana dan pakar industri untuk terlibat dalam perbincangan dan membentuk masa depan ekonomi global.
Diadakan di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), forum perdana bertemakan ‘Agenda Ekonomi Global: Membentuk Masa Depan Mampan’ adalah selaras dengan usaha mencapai rumusan inovatif bagi mengatasi cabaran mendesak yang dihadapi oleh komuniti global.
Pengerusi ADDED, Ahmed Jasim Al Zaabi berkata penganjuran WIEF merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk membentuk pembangunan sosio-ekonomi yang bijak, mampan dan inklusif di dunia.
“WIEF akan menyediakan platform unik untuk membina perbincangan dan hasil persidangan utama ini. Peserta akan mendapat gambaran tentang trend paling menonjol dalam ekonomi global, membincangkan strategi, berkongsi pengetahuan, mencapai rumusan inovatif dan bekerjasama untuk mencipta landskap ekonomi lebih mampan dan saksama,” katanya.
Pengerusi Yayasan WIEF, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar menambah WIEF ke-14 menjadi acara penting di mana minda dan pengaruh paling bijak dari pelbagai sektor akan berkumpul untuk memacu perbincangan bermakna dan membuka jalan bagi masa depan ekonomi lebih mampan.
Forum itu dijangka menarik lebih 2,500 peserta dari 80 negara, termasuk pemimpin, pemain peranan dan wakil media dari Asia Tengah, Timur Tengah, Asia Pasifik dan lain-lain.
Perbincangan panel forum itu akan memberi tumpuan kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ekonomi hijau dan kewangan Islam, keterjaminan makanan, industri halal, peranan belia dan wanita dalam perniagaan, hubungan perdagangan, peluang pelaburan dan penyelesaian yang dipacu teknologi untuk pertumbuhan ekonomi.
#Khazanah #WIEF #Forum Ekonomi Islam Sedunia #Abu Dhabi
;