WEM angkat isu jurang kemiskinan negara

Fauzi Suhaimi
Disember 15, 2020 18:12 MYT
Saadiah berkata, penggubalan dasar ekonomi harus mengutamakan kepentingan rakyat semasa khususnya golongan miskin, bukannya kepentingan segelintir kaum hartawan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu perubahan struktur dan perombakan dasar ekonomi adalah antara fokus utama Wacana Ekonomi Manusiawi (WEM) anjuran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) yang berlangsung pada Selasa.
Timbalan Pengerusi FEM, Prof Dr Saadiah Mohamad berkata, justeru sebarang penggubalan dasar ekonomi harus mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan khususnya golongan miskin dan bukannya menjaga kepentingan segelintir golongan hartawan.
"Ekonomi manusiawi hanya berlaku apabila rakyat mendapat ruang untuk berpartisipasi aktif dalam kegiatan ekonomi dan seterusnya persamaan hak atau terlepas dari penindasan, diskriminasi dan ketidakadilan.
"Dasar ekonomi yang manusiawi akan membawa kepada kesetaraan kemanusiaan di kalangan rakyat sehingga tidak ada lagi keadaan di mana satu peratus penduduk terkaya dunia menguasai separuh daripada sumber kekayaan sedang 50 peratus lagi dikongsi oleh sebahagian besar atau 99 peratus penduduk dunia," katanya di sini.
Terdahulu beliau menjadi moderator WEM yang bertajuk Kesejahteraan di Malaysia Merentas Tiga Dasawarsa: Apakah Kita Berhasil Membasmi Kemiskinan dan Ketimpangan Berleluasa.
Forum menggabungkan anggota panel antaranya Penyelidik Kanan Institut Kajian Khazanah, Hawati Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Majlis Solidariti Asian, Datuk Prof Dr Denison Jayasooria, Ketua Eksekutif Intelek Oxford, United Kingdom, Dr Imran Alvi dan Felo Penyelidik IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhammad Abdul Khalid.
Dalam pada itu, Saadiah berkata, perubahan ke arah ekonomi manusiawi tidak akan terlaksana selagi dunia hanya mengharapkan ihsan golongan kapitalis meskipun mereka cuba melakukan pelbagai penyesuaian untuk terus relevan.
"Oleh itu, yang diperlukan bukan cuma a revised capitalism dalam pengertian sekadar perubahan kosmetik, yang diperlukan adalah perubahan struktur (structual) dan perombakan dasar," katanya lagi.
Selain daripada penggubalan dasar, jelas beliau, masyarakat juga harus diberdayakan menerusi beberapa aspek tertentu.
"Pemberdayaan bukanlah dalam bentuk pemberian subsidi kebendaan, melainkan adalah pembinaan kesedaran harga diri dan sikap percaya diri anggota masyarakat untuk bergiat dalam pelbagai bidang ekonomi.
"Seterusnya, penggiat-penggiat ini digabungkan pula dalam satu rangkaian yang besar agar ruang untuk berpartisipasi itu dapat diperluaskan," ujarnya.
#Wacana Ekonomi Manusiawi #kemiskinan #Forum Ekonomi Manusiawi #Institut Darul Ehsan #dasar ekonomi #rakyat #dasar
;