WEF2023: Tahap keselamatan kini di tahap tertinggi

Harits Asyraf Hasnan
Januari 16, 2023 18:50 MYT
Tahap keselamatan di sini sempena WEF2023 ditingkatkan ke tahap tertinggi seiring majlis pembukaan yang bakal berlangsung pada petang Isnin waktu tempatan. - fotoREUTERS
DAVOS: Tahap keselamatan di sini sempena Forum Ekonomi Dunia 2023 (WEF2023) ditingkatkan ke tahap tertinggi seiring majlis pembukaan yang bakal berlangsung pada petang Isnin waktu tempatan.
Pusat ski terkemuka Switzerland ini akan menyambut ketibaan golongan perniagaan dan elit politik sehingga Jumaat depan selepas mesyuarat tahunan itu kembali diadakan pada Januari.
Pihak kerajaan Switzerland menempatkan 5,000 anggota tentera untuk menyokong pasukan polis.
Jet tentera juga akan kembali melakukan tinjauan di atas zon larangan terbang.
Sejumlah 52 ketua negara dan kerajaan telah mengesahkan kehadiran diikuti 56 menteri kewangan, 19 gabenor bank pusat, 30 menteri perdagangan dan 35 menteri luar.
Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir termasuk Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, Jr, Presiden Switzerland, Alain Berset, Perdan Menteri Finland, Sanna Marin, dan Presiden Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen dan Canselor Jerman, Olaf Scholz.
BACA SEMUA BERHUBUNG LIPUTAN FORUM EKONOMI DUNIA 2023 (WEF2023) DI SINI
Turut hadir termasuk bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair dan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.
Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) antara 39 pemimpin agensi antarabangsa yang hadir.
Perbincangan akan tertumpu kepada cabaran jangka masa pendek seperti mengelak risiko kemelesetan global 2023 dan bagaimana untuk memastikan kegagalan usaha global menangani perubahan iklim tidak terus kebelakang akibat krisis tenaga susulan perang Rusia-Ukraine.
#Forum Ekonomi Dunia 2023 #World Economic Forum 2023 #WEF2023 #cabaran ekonomi dunia 2023
;